SPRM Nafi Dakwaan Beku Akaun Bank Cucu Najib

SPRM Nafi Dakwaan Beku Akaun Bank Cucu Najib

0
SHARE
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan akaun bank milik cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut dibekukan ekoran siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik kenyataan BH Online, penafian itu dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, sekali gus menolak dakwaan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa yang mendakwa akaun peribadi miliknya serta anak lelakinya berusia 10 bulan dibekukan semalam.

“SPRM tidak pernah membekukan akaun milik cucu Najib,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nooryana memuat naik luahan mengenai pembekuan akaun miliknya dan anaknya itu hari ini menerusi posting sosial Facebook bernama Malaysians for Civil Liberty (Rakyat Malaysia untuk Kebebasan Sivil).

Nooryana Najwa Najib…

“Sebaik selepas saya membayar wang jaminan untuk ayah semalam dengan wang dikumpulkan daripada rakan dan saudara-mara, bank memaklumkan mereka mendapat arahan untuk membekukan akaun peribadi yang saya gunakan untuk membayar yuran sekolah sendiri.

“Akaun bank anak lelaki saya berusia 10 bulan yang mempunyai simpanan RM100 turut dibekukan dan ia adalah duit raya pertamanya, tahun ini…

“Apa kaitan duit raya saya dengan 1MDB? Adakah ini Malaysia baharu yang kita doakan itu?” katanya.

Difahamkan, selain Nooryana, akaun bank peribadi anak bongsu Najib, Norashman juga dibekukan, hari ini.

Sementara itu, semakan NSTP pada jam 4.30 petang mendapati akaun Facebook Nooryana sudah dinyah aktif.

Najib ditahan malam Selasa lalu dan dihadapkan ke mahkamah pagi semalam atas tuduhan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, yang mana RM500,000 dibayar semalam dan bakinya sebelum jam 3 petang Isnin depan, bersama dua penjamin.