SPRM Panggil Zahid Hamidi Buat Kali Ke-4 Berhubung Dakwaan Penyelewengan Dana Yayasan

SPRM Panggil Zahid Hamidi Buat Kali Ke-4 Berhubung Dakwaan Penyelewengan Dana Yayasan

0
SHARE

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi memanggil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, bagi mengambil keterangan dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan sebuah yayasan membabitkan nilai yang mencecah RM800,000.

Ahmad Zahid, 65, yang juga bekas timbalan Perdana Menteri tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.15 pagi tadi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna putih.

Beliau yang dilihat memakai baju batik berwarna hijau zaitun dan corak petak sempat membuka tingkap kenderaan dinaikinya dan melambai kepada petugas media yang sedang menunggu di luar pagar bangunan itu.

Ahmad Zahid hadir ke SPRM dengan ditemani anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang tiba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) berwarna hijau pada jam 9.23 pagi.

Semalam, Ahmad Zahid dan Nurulhidayah serta adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Proses ambil keterangan ke atas Ahmad Zahid dan Nurulhidayah berlarutan hampir lapan jam, namun status proses ambil keterangan terhadap Mohamad Nasaee belum dapat lagi dipastikan.

Ini merupakan kali keempat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi apabila wujud dakwaan bahawa RM800,000 dana yayasan kebajikan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit pemimpin UMNO itu dan isterinya

SPRM turut memanggilnya sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid sebelum ini turut ada menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku ke atas dana Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya itu.

Menurutnya, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Beliau berkata, sudah menjelaskan perkara itu kepada pihak SPRM dan bayaran balik ke akaun yayasan sudah dibuat sepenuhnya pada 2016.