SPRM Sahkan Buka 6 Kertas Siasatan Berhubung Projek Terowong Dasar Laut

SPRM Sahkan Buka 6 Kertas Siasatan Berhubung Projek Terowong Dasar Laut

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan sudah membuka sebanyak enam kertas siasatan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Memetik kenyataan SPRM, kertas siasatan pertama telah dibuka pada Julai 2017 manakala lima lagi kertas siasatan dibuka pada Januari tahun lalu.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh SPRM pada 1 Mac lalu berhubung pendedahan penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mengenai kebocoron kertas siasatan membabitkan projek tersebut yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin DAP.

Raja Petra Kamaruddin…

Raja Petra yang juga pengendali blog Malaysia Today mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan empat EXCO Kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Namun, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan dakwaan itu adalah satu fitnah kerana projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka, sekali gus tidak memungkinkan wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.