Sudan Negara Terbaharu Arab Bersetuju Iktiraf Israel

Sudan Negara Terbaharu Arab Bersetuju Iktiraf Israel

0
SHARE
President AS, Donald Trump, bercakap dalam talian menggunakan pembesar suara dengan pemimpin SUDAN dan ISRAEL di Rumah Putih, semalam...(Sumber Foto;EPA)

WASHINGTON – SUDAN muncul negara terbaharu Arab yang bersetuju untuk mengiktiraf Israel, semalam, sekali gus menjadi satu lagi kejayaan diplomatik Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian di Rumah Putih, bulan lalu, untuk menjalinkan hubungan dengan Israel.

Namun, penyertaan Sudan itu turut membawa simbolisme tambahan sebagai negara Arab yang terbabit peperangan dengan Israel.

Memetik laporan AFP, Trump mengumumkan persetujuan oleh Kerajaan Sudan itu sejurus beliau secara rasminya menamatkan gelaran negara berkenaan sebagai pembiaya keganasan, yang menyaksikan objektif utama Khartoum tercapai.

Terdahulu, pemberita dibawa masuk ke Pejabat Oval di mana Trump sedang bercakap dalam talian menggunakan pembesar suara dengan pemimpin Sudan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang juga sekutu rapat Presiden Republikan itu.

“Ini betul-betul mengubah rantau itu. Ia mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik dan membolehkan kita memfokus kepada usaha membina negara serta masa depan kita,” Netanyahu didengar berkata sedemikian kepada Trump.

Trump mendakwa, lebih banyak lagi negara Arab bakal mengiktiraf Israel, termasuk Arab Saudi.

“Kita mempunyai sekurang-kurang lima lagi yang ingin menyertai dan akan ada lebih daripada itu, tidak lama lagi,” kata Trump.

Setakat bulan lalu, negara Arab yang mengiktiraf Israel ialah Jordan dan Mesir selepas AS bertindak sebagai perantara.

Kepemimpinan Palestin menyelar tindakan negara Arab mengiktiraf Israel tanpa sebarang perkembangan bagi membantu perjuangan mereka.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmud Abbas, mengutuk dan menolak perjanjian antara Sudan dengan Israel yang telah merampas tanah Palestin.