SUHAKAM Syorkan MPI Digunakan Dalam Mengira Kadar Kemiskinan Di Malaysia

SUHAKAM Syorkan MPI Digunakan Dalam Mengira Kadar Kemiskinan Di Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini mengesyorkan penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) dalam rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang bagi mengira kadar kemiskinan di Malaysia.

SUHAKAM dalam satu kenyataan berkata pengiraan itu lebih tepat dan berkesan berasaskan kepada penafian hak berkaitan pendidikan, kesihatan dan taraf kehidupan yang berkadaran melalui pengiraan kadar kemiskinan yang melangkaui dimensi pendapatan.

“Pengiraan kadar kemiskinan yang lebih tepat akan membolehkan pembuat dasar mengenal pasti dan menyasarkan program pambasmian kemiskinan kepada isi rumah, kumpulan dan individu yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Dasar Kerajaan untuk B40 jelas menuju ke arah pelaksanaan MPI untuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) (2021-2025) yang akan dijajarkan dengan inisiatif kemakmuran bersama berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia mendakwa kadar kemiskinan Malaysia pada 0.4 peratus adalah tidak tepat, dan menurutnya kayu ukur kadar kemiskinan antara 15 ke 20 peratus adalah lebih realistik.

SUHAKAM mengakui bahawa pengiraan rasmi untuk kadar kemiskinan di Malaysia yang menunjukkan kemiskinan tegar adalah terlalu rendah sebenarnya tidak menggambarkan dengan tepat realiti kos sara hidup di bandar dan luar bandar di negara ini.

Dalam pada itu, SUHAKAM turut mencadangkan agar program pembasmian kemiskinan yang berasaskan hak asasi manusia dilaksanakan dalam perancangan dasar.

“SUHAKAM percaya bahawa program itu seharusnya memberi penekanan terhadap penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, pertumbuhan inklusif dan merapatkan jurang pendapatan, dan bukan sahaja langkah-langkah bagi menangani kemiskinan semata-mata,” tambah kenyataan itu.

– BERNAMA