Sultan Johor Biaya Kos Baik Pulih Wad Perubatan HSA Yang Terbakar

Sultan Johor Biaya Kos Baik Pulih Wad Perubatan HSA Yang Terbakar

0
SHARE
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar..(Sumebr Foto: Fb Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar - Royal Press Office)

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam.

Baginda bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bersama-sama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya, kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titahnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Semalam, rakyat Johor dikejutkan lagi dengan insiden kebakaran di Hospital Sultan Aminah (HSA) namun kali ini melibatkan Wad Perubatan Perempuan 1 yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.

Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit  yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran iaitu pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut.

– BERNAMA