Sultan Johor Mengurniakan RM1 Juta Buat Operasi Merawat Pencemaran Bahan Kimia Pasir...

Sultan Johor Mengurniakan RM1 Juta Buat Operasi Merawat Pencemaran Bahan Kimia Pasir Gudang

0
SHARE
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj...

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Menerusi catatan dalam laman Facebook Sultan Johor, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan diperlukan.

“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.

“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik ke Facebook rasmi Sultan Johor di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar sekolah serta orang awam.

– BERNAMA