Sultan Pahang Angkat Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Hari Ini

Sultan Pahang Angkat Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Hari Ini

0
SHARE
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...

KUANTAN, PAHANG – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Khamis bagi tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan yang akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Al-Sultan Abdullah akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijadual berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan pada pukul 7 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan bermula di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

AL-Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari lepas.

– BERNAMA