Tampil Buat Laporan Jika Penjualan Naskhah Al-Quran Tanpa Kelulusan KDN – Muhyiddin

Tampil Buat Laporan Jika Penjualan Naskhah Al-Quran Tanpa Kelulusan KDN – Muhyiddin

0
SHARE
Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin...

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu umat Islam proaktif dan tampil membuat laporan sekiranya mengesan ada penjualan naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sama ada yang dicetak atau dijual secara online.

Beliau berkata, pihaknya melakukan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan daripada KDN itu tidak dijual dalam pasaran tempatan.

“Kita pandang berat perkara ini kerana tidak mahu penyelewengan berlaku. Justeru umat Islam mesti berjaga-jaga, daripada menggunakan al-Quran yang tidak diluluskan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Painting From The Heat: Art For Good’ di sini, semalam.

“Kadang-kadang untuk online susah kita nak siasat namun kalau dia (pengadu) syak al-Quran yang dibeli itu tidak betul, boleh minta (bantuan) pihak berkuasa untuk kita hantar panel semak perkara itu,” tambahnya.

Muhyiddin menegaskan, umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana al-Quran yang tidak diluluskan tidak boleh diguna pakai berikutan cara pembacaan dan percetakannya adalah berbeza dengan al-Quran resam Uthmani yang dipakai negara.

Menurutnya, KDN hanya meluluskan al-Quran al-Karim resam Uthmani yang mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera  perkataan ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul’, selain memasukkan ciri baharu iaitu kod QR dan hologram.

Isnin lepas, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor merampas 5,050 unit al-Quran yang tidak diluluskan bernilai RM502,800 di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara Klang, yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia untuk pasaran tempatan dan dijual secara dalam talian.

– BERNAMA