Tanah Marawi-Filipina Diserang Pengganas ISIS

Tanah Marawi-Filipina Diserang Pengganas ISIS

0
SHARE

 MARAWI, FILIPINA – Sekumpulan militan bersenjata dari kumpulan yang dikaitkan dengan ISIS dilaporkan telah menyerbu dan berbalas tembakan dengan tentera Filipina di bandar Marawi, Filipina.

Penduduk Marawi yang terletak di selatan negara itu, digesa agar tidak keluar daripada rumah kerana disyaki sekurang-kurangnya 15 orang lelaki lengkap bersenjata dari kalangan pengganas ISIS berlegar-legar di sekitar bandar itu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai “Maute” di mana mereka telah menyerbu jalan-jalan dan akan mengacukan senapang serta membuat serangan kepada sesiapa sahaja yang ditemui mereka.

Menurut laporan, kumpulan pengganas itu juga dikenali sebagai Negara Islam Lanao, yang mana telah mendapat sokongan daripada ISIS.

Tentera dan pasukan polis khas telah dikerahkan ke bandar Marawi dengan kadar segera selepas penduduk di sebuah kampung berdekatan membunyikan penggera dan merayu untuk bantuan segera serta memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

“Saya merayu kepada penduduk di Bandar Marawi untuk tinggal di rumah, menunduk kepala di tanah, apabila mereka mendengar bunyi tembakan,” kata Mamintal Adiong Jr, Gabenor Wilayah Lanao Del Sur kepada akhbar The Philippine Star.

“Mereka juga perlu mengunci pintu dan pagar mereka” tambah katanya.

Laporan tempatan mengatakan bahawa kumpulan militan telah memasuki hospital tempatan dan menaikkan bendera ISIS yang berwarna hitam di atas bumbung, maklumat ini telah disahkan secara rasmi oleh pihak tentera Filipina.

Saksi melaporkan melihat lelaki dalam pakaian serupa dengan yang dipakai oleh militan ISIS berlegar di sekitar bandar Marawi sebelum mereka menembak secara rawak pada rumah-rumah dan bangunan kerajaan di kawasan itu.

Kini, untuk menjamin keselamatan penduduk di sekitar bandar Marawi, seramai 100 anggota tentera telah dihantar termasuklah pasukan khas terlatih Amerika Syarikat, untuk mengambil semula bangunan dan jalan-jalan di kawasan yang ditawan oleh kumpulan militan “Maute” itu, yang telah berjanji setia kepada ISIS.