Tangguh Surcaj Dan Pemberhentian Rebat Demi Rakyat – Shahril Hamdan

Tangguh Surcaj Dan Pemberhentian Rebat Demi Rakyat – Shahril Hamdan

0
SHARE
Shahril Sufian Hamdan...

KENYATAAN MEDIA SHAHRIL HAMDAN BERHUBUNG TANGGUH SURCAJ DAN PEMBERHENTIAN REBAT UNTUK ELAK KENAIKAN KOS BERGANDA KEPADA RAKYAT;

1) Pengumuman mengenai pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik bagi rakyat.

2) Pelarasan ICPT ini akan menyaksikan pengguna bukan domestik (bukan isi rumah, iaitu lazimnya komersil) dikenakan surcaj sebanyak 1.35 sen bagi setiap kWj.

3) Lebih daripada itu, semua penggunaan (tak kira kediaman atau komersil) melebihi 300 kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat yang diberi bawah Kerajaan BN sebelum ini.

4) Rebat ICPT telah dinikmati oleh semua segmen pengguna untuk tempoh lebih 3 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini semenjak pelarasan ICPT ini diperkenalkan pada tahun 2015.

5) Namun, kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia kurang 2 bulan telah mengambil tindakan untuk bukan sahaja menamatkan pemberian rebat malah telah mengenakan pula surcaj menerusi pelarasan ini.

6) Ini mempunyai pelbagai kesan. Pertama, 2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah/rakyat biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat dan kini terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya. Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik.

7) Jika ada memandang bahawa 36% ini bukan majoriti isi rumah, perlu diingat bahawa pemberhentian rebat diganti dengan impak surcaj 1.35 sen setiap kWj ke atas pengguna bukan domestik seperti kilang, kedai dan premis perniagaan bakal meningkatkan kos operasi dan pengeluaran lantas menyaksikan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan dan perkhidmatan mereka.

8) Tak cukup dengan soal rebat dan surcaj elektrik, baru-baru ini juga, GAS Malaysia telah mengumumkan kenaikan tarif asas gas asli sebanyak 77 sen bagi sektor bukan tenaga, memberi kesan kepada semua segmen pengguna tidak kira kediaman atau komersil. Kenaikan tarif gas asas gas asli dan kenaikan tarif elektrik ini akan mewujudkan kesan berganda terhadap kos operasi perniagaan, dan kepada isi rumah.

9) Kesan daripada kenaikan berganda ini akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup rakyat kian bertambah.

10) Segala perkembangan ini berlaku tatkala penurunan kadar GST kepada 0% tidak terbukti berjaya menurunkan harga barang malah terdapat banyak rungutan mengenai kenaikan harga barang selepas keputusan tersebut dibuat. Barangkali setelah pengenalan semula SST kelak, satu lagi tamparan inflasi bakal menanti rakyat Malaysia.

11) Persoalan pokoknya, di manakah pelaksanaan manifesto kerajaan Pakatan Harapan ketika PRU-14 lalu berjanji untuk meringankan beban hidup rakyat? Rakyat masih menantikan.

12) Maka Pemuda UMNO Malaysia ingin mendesak agar Kerajaan menangguhkan pelepasan surcaj kepada rakyat dan pemberhentian rebat ini bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat yang semuanya tampak berlaku dalam suatu tempoh yang pendek.

Shahril Hamdan
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia
https://www.facebook.com/407262292721295/posts/1730336493747195/