Tapak Pejabat Daerah Kecil Kiulu Dikenal Pasti

Tapak Pejabat Daerah Kecil Kiulu Dikenal Pasti

0
SHARE
Joniston (kedua dari Kanan) dan Sofian (kedua dari kiri) ketika membuat tinjauan kesesuaian tapak untuk pejabat daerah kecil Kiulu...

KIULU, SABAH – Cadangan tapak bangunan Pejabat Daerah Kecil Kiulu sudah dikenal pasti. Ini berikutan tinjauan kesesuaian tapak dikawasan Pekan Kiulu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dan Pegawai Daerah Tuaran, Sofian Alfian Nair, pada Rabu.

Turut menyertai tinjauan itu ialah Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Joisin Romut serta Penolong Pemungut Hasil Tanah Tuaran, Michael Dony Akang.

Kelulusan menjadikan Kiulu sebagai Daerah Kecil diumumkan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ketika lawatan kerja beliau ke pekan ini pada 6 Mac lalu atas permintaan Joniston dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga Ahli Parlimen Tuaran.

Dengan pengenalpastian cadangan tapak itu, Joniston berharap pembinaan bangunan tersebut dapat dimulakan dalam masa terdekat dan siap sebelum penghujung tahun ini.

“Kita ingin melihat Pejabat Daerah Kecil Kiulu mula beroperasi sebelum hujung tahun ini,” kata Joniston sambil mengucapkan terima kasih kepada Musa atas keprihatinan beliau meluluskan penaikantarafan Kiulu sebagai daerah kecil.

Kiulu, yang terkenal sebagai tarikan pelancongan eko dan hasil pertanian, mempunyai lebih 100 buah kampung dengan jumlah pepulasi mencecah 60,000.

Pembangunan ekonomi berasaskan aktiviti pelancongan dan pertanian di Kiulu dijangka akan menjadi rancak dengan pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Ranau yang kini sudah 65 peratus siap dan pembinaan Jalan Gonipis – Tobobon yang akan bermula tidak lama lagi.

“Proses untuk merealisasikan objektif kita menjadikan Kiiulu sebagai hab pembangunan pertanian dan pelancongan eko akan dipermudahkan dengan pengwujudan pejabat daerah kecil Kiulu,” kata Joniston.

Tahun lepas, lebih 53,000 pelancong melawat Kiulu, yang terkenal dengan aktiviti berasaskan sungai, inap desa dan trekking. Jumlah itu mencatat peningkatan 100 peratus berbanding 27,000 pengunjung pada tahun 2016.

Persatuan Pelancongan Kiulu menjangka jumlah pengunjung ke kawasan itu akan mencecah 100,000 tahun ini berikutan bertambahnya bilangan produk pelancongan yang ditawarkan.

Sementara itu, Sofian berkata Pejabat Daerah Tuaran kini dalam proses terakhir menyiapkan kertas cadangan pengwujudan pejabat daerah kecil Kiulu untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri.

 “Apa yang penting ialah cadangan tapak telahpn dikenal pasti,” kata Sofian.