Tentera Israel Tembak Hampir 20 Penduduk Gaza Hingga Cedera

Tentera Israel Tembak Hampir 20 Penduduk Gaza Hingga Cedera

0
SHARE

BANDAR GAZA, PALESTIN – Pegawai-pegawai perubatan Pa­lestin menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 20 penduduk Gaza cedera ditembak anggota tentera Israel kelmarin ketika berlakunya bantahan mingguan di kawasan sempadan.

“Seramai 20 orang ce­dera disebabkan tembakan peluru hidup oleh anggota tentera Israel,” menurut Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan.

Memetik laporan AFP, tentera Israel mendakwa seramai 11,000 penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi di sempadan Gaza dan bertindak membaling batu ke arah anggota-anggota ke­selamatan mereka selain menggunakan beberapa peranti letupan dan bom tangan.

“Anggota tentera kami bertindak balas untuk mengusir kumpulan itu dan me­nembak mengikut syarat-syarat dalam Prosedur Operasi Standard (SOP),” menurut jurucakap Tentera Israel kepada pemberita.

Polis Israel mendakwa seorang pegawai mereka yang melakukan kawalan di kawasan sempadan ce­dera ringan akibat terkena sisa letupan pada bahagian kaki.

Rakyat Palestin mengadakan bantahan mingguan hampir setahun di kawasan sempadan Gaza-Israel yang pada kebiasaannya bertukar menjadi ganas untuk mendesak Israel menamatkan sekatan di wilayah itu.

Sekurang-kurangnya 250 warga Palestin terbunuh selepas ditembak tentera Israel selain bedilan kereta kebal dan jet tempur.