Tentera Pintar Bakal Diwujudkan Di Negara Ini – Mohamad Sabu

Tentera Pintar Bakal Diwujudkan Di Negara Ini – Mohamad Sabu

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bakal mewujudkan tentera pintar dalam pertahanan moden di negara ini selepas draf awal pada sesi dialog Kertas Putih Pertahanan Negara diluluskan pada Mesyuarat Keselamatan Negara, minggu lalu.

Menurut beliau, tentera pintar membolehkan setiap anggota tentera dan keselamatan mampu mengendalikan teknologi canggih dalam bidang ketenteraan dan juga keselamatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sesi terakhir dialog Kertas Putih Pertahanan Negara hari ini dan jika ada usul baharu, ia akan dirumuskan untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen, yang dijualkan pada 2 Disember depan.

“Hari ini sesi terakhir dialog dan selepas ini kita akan mula menyiapkannya untuk dibentangkan di Parlimen…

“Draf awal sudah diluluskan dan kalau ada tambahan perkara baharu… mungkin tidak banyak. Mungkin ada idea hari ini, kalau ada idea baharu dari veteran tentera, mungkin akan dibuat,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Perwira Dialog Masyarakat Sivil dan Veteran di sini hari ini.

Kertas Putih Pertahanan Negara yang pertama kali dibuat di Malaysia, mengambil contoh beberapa negara antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

Kertas putih itu akan dijadikan panduan untuk Kementerian Pertahanan dalam rancangan 10 tahun.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, negara memerlukan pertahanan moden dan anggota tentera yang mampu mengendalikan peralatan moden.

“(Contohnya) Jumlah askar Australia tidak ramai tetapi mereka menggunakan peralatan moden. Ini yang akan kita memperkenalkan pada masa akan datang (iaitu) berbentuk tentera pintar,” katanya.