Thailand Akan Tambah Insentif Cukai Kepada Jutaan Penduduk

Thailand Akan Tambah Insentif Cukai Kepada Jutaan Penduduk

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Thailand akan menambah insentif cukai kepada jutaan penduduk dari golongan pertengahan dan atasan, bagi menggalakkan perbelanjaan pengguna, sekali gus membantu menangani kemelut ekonomi terburuk dialami negara itu setakat ini, akibat pandemik COVID-19.

Keputusan itu antara lain membolehkan 3.7 juta pembayar cukai untuk menolak 30,000 baht (RM3,994.74) setiap seorang, daripada pendapatan boleh cukai dengan anggaran kos 11 bilion baht (RM1.5 bilion) ke atas kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Supattanapong Punmeechaow kepada wartawan di Bangkok, semalam.

Memetik laporan portal berita Bloomberg, cadangan berkenaan diluluskan Pusat Pengurusan Situasi Ekonomi, dipengerusikan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, dan akan dibentangkan untuk kelulusan Kabinet pada Isnin depan.

Thailand, sama seperti kebanyakan ekonomi sedang membangun, bergantung kepada penambahan lonjakan fiskal bagi menangani kemelut diakibatkan penularan wabak yang menjejaskan sektor pelancongan serta eksport.

Insentif cukai itu adalah antara perkara utama terkandung dalam bantuan tunai 51 bilion baht (RM6.8 bilion) yang diluluskan kerajaan minggu lalu, disasarkan untuk 24 juta kumpulan pendapatan rendah dan pemegang kad bantuan kebajikan masyarakat.

Prayut kini memacu perbelanjaan kerajaan bagi memulihkan kembali ekonomi yang diramalkan bank pusat memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum kembali seperti asal.

Kuasa ekonomi kedua terbesar ASEAN itu juga berdepan penguncupan ekonomi terbesar tahun ini, dengan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.5 peratus.

Kerajaan mengumumkan program rangsangan ekonomi bernilai AS$60 bilion (RM249 bilion).