Thailand Lanjutkan Perintah Darurat Sehingga 30 Jun Bagi Mengekang Penularan Wabak COVID-19

Thailand Lanjutkan Perintah Darurat Sehingga 30 Jun Bagi Mengekang Penularan Wabak COVID-19

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Senario terkini wabak COVID-19 global yang masih jelas belum dalam keadaan stabil menyebabkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) bersetuju agar perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding 11 malam hingga 4 pagi sekarang.

Jurucakap CCSA, Thaweesilp Wissanuyothin, berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal langkah-langlah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.

“Pelanjutan tempoh perintah darurat ini tertakluk kepada persetujuan kabinet pada Selasa,” katanya pada taklimat media harian COVID-19, semalam.

Thaweesilp berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada 29 Mei ini bagi membincangkan pelonggaran lebih banyak sekatan.

“Fasa ketiga pelonggaran dijangka bermula 1 Jun,” katanya.

Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kerajaan mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan venue dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.

Sementara itu, Thaweesilp berkata tiada kes baharu jangkitan atau kematian akibat COVID-19 direkodkan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian.