Tiada Apa Yang Boleh Dibanggakan 10 Tahun Tadbir Kerajaan Selangor – Abdul...

Tiada Apa Yang Boleh Dibanggakan 10 Tahun Tadbir Kerajaan Selangor – Abdul Shukur

0
SHARE
Datuk Abdul Shukur Idrus...

KUALA LUMPUR – Tiada apa yang boleh dibanggakan sepanjang pentadbiran kerajaan Selangor selama sedekad selain rebat perkhidmatan air sebanyak RM11, kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus.

Abdul Shukur berkata walaupun dikenakan caj yang rendah, rakyat terpaksa berdepan dengan isu krisis air sehingga menjejaskan kehidupan dan perniagaan harian.

“… itu pun air tiada dan setiap kali buka air hanya angin sahaja yang keluar, barangkali rakyat hanya dapat angin,” kata beliau kepada Bernama selepas melancarkan Koperasi Pemilik dan Pemandu Kenderaan Komersial India Bhd dan majlis penyerahan replika kunci kepada 10 penerima di bawah Skim Pinjaman Kenderaan, di sini, hari Selasa.

Bermula April 2010, kerajaan Selangor memberi air percuma 20 meter padu pertama atau purata rebat sebanyak RM11 sebulan.

Oleh yang demikian, Abdul Shukur berpendapat Barisan Nasional (BN) kini lebih bersedia untuk memerintah semula Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekiranya meletakkan calon yang tepat mengikut kehendak rakyat Selangor.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding, bekas ketua pemuda UMNO Selangor itu berkata: “Setakat ni saya tidak diumumkan lagi. Sekiranya disuruh saya bertahan, saya akan pertahankan kerusi DUN yang dimenangi. Sekiranya ada muka baharu kami akan terus berikan sokongan kepada calon BN”.

Mengulas isu agihan kerusi Selangor sebelum ini, Abdul Shukur berkata perpecahan pendapat dalam Pakatan Harapan merupakan peluang kepada BN untuk merampas kembali negeri itu.

Namun, pengerusi PH Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengesahkan bahawa isu pengagihan kerusi antara calon gabungan itu di negeri ini telah selesai sepenuhnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 28 April manakala hari mengundi pada 9 Mei.

– BERNAMA