Tidak Ada Kesan Negatif Tindakan Pembangkang Putuskan Hubungan Dengan PAS

Tidak Ada Kesan Negatif Tindakan Pembangkang Putuskan Hubungan Dengan PAS

0
SHARE
Sumber Foto; WakeupMalaya

KUALA NERUS – Tindakan rakan pembangkang dalam Pakatan Rakyat yang memutuskan hubungan dengan PAS tidak memberi sebarang kesan negatif terhadap parti Islam itu, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Memetik portal berita Bernama, beliau berkata PAS mempunyai sebanyak 7,000 cawangan di 195 kawasan di seluruh negara dan sentiasa berdiri dengan kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.

Sebahagian kehadiran hampir 200,000 penyokong PAS di Himpunan Fastaqim 2.0 di Tok Jembal – Sumber Foto; Harian Metro

“Kehadiran hampir 200,000 penyokong PAS di Himpunan Fastaqim 2.0 di Tok Jembal di sini (misalnya) mencerminkan sokongan padu anggota dan kekuatan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.

“Penganjuran Fastaqim 1.0 di Kota Bharu, Kelantan pada dua tahun lalu turut mencatat kehadiran penyokong yang sama dan ketika itu kita masih bersama Pakatan Rakyat. Bila (pakatan) dibatalkan, kita tak ada masalah, kita ada kekuatan kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pertubuhan bukan kerajaan di sini malam ini.