Tiga ‘Bekalan’ Dibawa Pastikan Kemenangan BN Di PRU14 – PM

Tiga ‘Bekalan’ Dibawa Pastikan Kemenangan BN Di PRU14 – PM

0
SHARE

KUALA LUMPUR¬†– Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan tiga ‘bekalan’ kepada perwakilan UMNO untuk dibawa pulang dari perhimpunan agung parti itu ke kawasan masing-masing dalam usaha untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri dipetik berkata bahawa bekalan pertama ialah supaya pimpinan di peringkat Bahagian UMNO menyelesaikan sebarang masalah kepimpinan secara ‘musyawarah’ (berunding) dalam semangat kekeluargaan parti.

Beliau berkata ia memandangkan kedudukan kepimpinan tertinggi telah diselesaikan para perwakilan yang meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

“Di peringkat Bahagian ini, pakat-pakatlah selesaikan, saya tahu mana Bahagian yang ada masalah, ada yang tidak bertegur sapa, tolong selesaikan dalam semangat kekeluargaan UMNO,” katanya ketika berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berakhir hari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib berkata para perwakilan dan anggota UMNO juga perlu menerima keputusan parti dalam menentukan calon pilihan raya  atas semangat cintakan parti.

“Saya nak beritahu, jadi calon atau tidak bukan keputusan hati tetapi keputusan parti. Kalau saya suka orang itu pun (untuk jadi calon), tetapi parti tidak lepas, saya terpaksa kata sorry (maaf), kena terimalah keputusan itu kerana kita pilih winnable, likeable candidates (calon-calon mampu menang, disukai ramai), yang benar-benar boleh menang dan bawa kejayaan kepada parti,” kata beliau.

Najib turut meminta anggota UMNO supaya berjuang dan bertempur dengan penuh berani bagi mencapai kemenangan yang besar bagi BN dan mempertahankan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata UMNO dan BN mempunyai momentum untuk mencapai kemenangan kerana memiliki sokongan pelbagai lapisan masyarakat hasil agenda jelas dan tersusun untuk mentadbir negara.

“Kebanyakan pegawai kerajaan memihak kepada kita, mendokong dasar BN, terima kasih juga kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), mereka ini pun sokong kita, banyak CEO memberikan sokongan, dahulu mereka nak (bersikap) profesional tetapi sekarang menyokong secara terbuka sebab yakin dengan hala tuju BN,” kata beliau.

Menyifatkan UMNO sebagai parti masa depan untuk masa hadapan, Najib berkata ia telah melakar pelbagai kejayaan sebagai parti tunjang kerajaan.