Tiga Terbunuh Nahas Dua Kereta Di Linkedua

Tiga Terbunuh Nahas Dua Kereta Di Linkedua

0
SHARE
KULAI – Tiga terbunuh manakala tiga yang lain cedera selepas dua buah kereta terbabas sebelum terbalik ke tepi jalan dalam nahas di Lebuh Raya Linkedua dekat Senai di sini, pada Isnin.

Tiga mangsa yang maut ialah pemandu Honda Civic, Muhammad Aseel Habel Akbar, 21, dan penumpang hadapannya, Muhammad Safuan Sazali, 23 serta pemandu Perodua Bezza, Mohamad Ridzuan Mohamad, 24.

Tiga lagi yang cedera termasuk dua wanita ialah Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila Honda Civic dipandu Muhammad Aseel dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh besi pembahagi jalan.

Impak kejadian itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan tercampak keluar daripada kereta.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian berlaku, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu Mohamad Ridzuan yang datang dari arah belakang turut gagal dikawal menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbalik ke dalam parit.

“Pemandu turut tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada badan dan kepala,” katanya.

Menurut beliau, semua mangsa yang terlibat dan cedera telah dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.