Tok Mat Menang, Kekalkan Kerusi BN Di DUN Rantau

Tok Mat Menang, Kekalkan Kerusi BN Di DUN Rantau

0
SHARE

REMBAU, NEGERI SEMBILAN – Seperti yang telah dijangka, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan majoriti 4,510 undi selepas berjaya memperoleh sebanyak 10, 397 undi.

Keputusan tersebut menyaksikan Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenal dengan ‘Tok Mat’ menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram yang hanya memperoleh 5,887 undi.

Mohd. Nizam Tajul Arus selaku Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau mengumumkan keputusan tersebut kira-kira pukul 8.45 malam tadi di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Dalam pada itu, dua calon Bebas yang turut bertanding, R. Malarvizhi mendapat 83 undi, manakala Mohd. Nor Yassin mendapat 79 undi.

Turut hadir meraikan kejayaan Tok Mat ialah Naib Presiden UMNO – Datuk Seri Khaled Nordin, Presiden MCA – Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung PAS – Datuk Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November 2018, bahawa kemenangan tanpa bertanding Tok Mat di kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat selepas Dr. Streram memfailkan petisyen membatalkan kemenangan Tok Mat ekoran beliau telah dihalang masuk ke pusat penamaan calon di sini oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 April tahun lalu.

Menurut sumber, Tok Mat yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan adalah penyandang kerusi DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004.