Tommy Thomas Gesa Semua Pihak Terlibat Pentadbiran Kehakiman Tingkatkan Keadilan

Tommy Thomas Gesa Semua Pihak Terlibat Pentadbiran Kehakiman Tingkatkan Keadilan

0
SHARE
Tommy Thomas...

PUTRAJAYA – Peguam Negara (AG), Tommy Thomas menggesa pihak yang terlibat dalam pentadbiran kehakiman agar memulakan langkah baru dengan meningkatkan keadilan di negara ini dan menolak ketidakadilan.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab besar wakil-wakil dari pihak kehakiman, para peguam sektor awam atau para peguam sektor swasta bertindak sebagai eksekutif cawangan kerajaan atau anggota peguam swasta untuk berbuat sedemikian.

“Kita hendaklah secara terbuka menerima dan berikrar antara satu sama lain, dan kepada negara, niat kita, dedikasi dan komitmen untuk menjauhkan diri kita daripada perlakuan dan kealpaan masa lepas yang membawa kepada keaiban terhadap sistem perundangan kita, dan memulakan perjalanan baru dengan meningkatkan keadilan dan menolak ketidakadilan,” katanya dalam ucapannya pada perasmian Legal Year 2019.

Thomas,ketika berucap kali pertama sebagai pendakwa dan penasihat undang-undang tertinggi bagi kerajaan berkata, undang-undang hendaklah dibebaskan daripada belenggu kezaliman dan sebaliknya dibiarkan berkembang seperti yang dihasratkan apabila pelayaran Kemerdekaan dikecapi bermula pada 1957 dan 1963.

Beliau berkata, pentadbiran kehakiman tidak kebal daripada kanser rasuah yang merebak dalam keadaan yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu.

“Skandal-skandal yang melibatkan hakim, peguam, pendakwaraya dan pendakwa bagi sekurang-kurangnya tiga dekad sejak Krisis Kehakiman 1988 adalah begitu diketahui, hinggakan tidak perlu diberi peringatan kepada tetamu pagi ini,” kata Thomas.

Beliau berkata, kerajaan baru tidak akan bertolak ansur dengan sebarang campurtangan atau halangan dalam pentadbiran kehakiman dan menambah bahawa undang-undang akan digunakan sepenuhnya terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

– BERNAMA