Trump Ancam Kenakan Tarif Ke Atas Barangan China

Trump Ancam Kenakan Tarif Ke Atas Barangan China

0
SHARE

WASHINGTON РSidang kemuncak G20 pada akhir bulan ini bakal menyaksikan satu lagi pusingan tarif punitif ke atas import China dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekiranya beliau tidak meraih kemajuan dalam rundingan perdagangan dengan presiden China.

Sejak dua hari perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan AS-China bulan lalu di Washington berakhir dengan kebuntuan, Trump yang dipetik laporan Reuters berulang kali mengatakan beliau menjangka bertemu Presiden Xi Jinping pada sidang kemuncak yang berlangsung pada 28-29 Jun di Osaka, Jepun.

China belum mengesahkan sebarang pertemuan sedemikian…

Trump minggu lalu berkata, beliau akan memutuskan selepas mesyuarat pemimpin ekonomi terbesar di dunia itu sama ada akan mengancam untuk mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.

Dalam ulasan kepada pemberita pada Isnin, Trump berkata beliau masih berpendapat mesyuarat dengan Xi akan berlangsung.

“Kami dijadualkan berucap dan bertemu. Saya kira perkara-perkara menarik akan berlaku. Mari lihat apa yang akan berlaku,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Amerika Syarikat sudah pun mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion.

Kementerian Luar China berkata, China terbuka untuk mengadakan lebih banyak rundingan perdagangan dengan Washington tetapi tidak ada apa untuk diumumkan berhubung kemungkinan pertemuan itu diadakan.

Ketegangan antara Washington dan Beijing meningkat mendadak pada Mei selepas pentadbiran Trump menuduh China tidak bersetuju dengan persetujuan untuk membuat perubahan ekonomi selama perbincangan diadakan.

AS berhasrat membuat perubahan besar, termasuk penghapusan pemindahan teknologi paksa dan pencurian rahsia perdagangan AS.

Ia juga mahu membendung subsidi ke atas syarikat milik kerajaan China dan akses yang lebih baik bagi firma AS di pasaran China.

Pada 10 Mei, Trump menaikkan tarif sehingga 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion dan kini mengambil langkah untuk mengenakan duti tambahan ke atas import China bernilai AS$300 bilion.

Beijing membalas dengan kenaikan tarif ke atas senarai barangan AS yang disemak semula bernilai AS$60 bilion.

Kerajaan AS juga telah menimbulkan kemarahan China dengan meletakkan Huawei Technologies Co Ltd dalam senarai hitam yang secara berkesannya mengharamkan syarikat AS daripada menjalankan perniagaan dengan firma China itu, yang adalah pengeluar peralatan telekom terbesar di dunia.

Pelabur bimbang China akan membalas dengan meletakkan syarikat AS pada senarai hitam atau melarang eksport logam nadir bumi ke AS, logam yang digunakan dalam produk seperti cip memori, bateri boleh dicas semula dan telefon bimbit.

Fitch Ratings berkata, sebarang langkah sedemikian akan mengganggu sektor teknologi AS dan boleh menjejaskan beberapa sektor di China, walaupun ia menambah bahawa terlalu awal untuk menilai potensi implikasi kredit.

Dalam temu bual dengan CNBC, Trump berkata pertikaian Huawei boleh ditangani sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan dengan China.