Tun M Akan Mansuhkan Beberapa Undang-Undang Jika Tawan Putrajaya

Tun M Akan Mansuhkan Beberapa Undang-Undang Jika Tawan Putrajaya

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan akan memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Antiberita Tidak Benar 2018, sekiranya angan-angan mereka untuk menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyatakan ingin memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

“Kita juga akan memansuhkan peruntukan-peruntukan zalim yang terdapat dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia,Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015,” katanya dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Memetik kenyataan pada portal berita Malaysia Kini, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata RUU itu masih menunggu kelulusan senat dan laporan sempadan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwartakan minggu lalu patut dibahaskan dengan serius di Parlimen.

“Tapi dalam jangka masa dua jam dah lulus. Jadi parlimen sekarang ini sudah jadi satu sandiwara – just a play acting. Tak ada seriousness, tak bagi orang bahas pun.

“So they passed this law satu berkenaan sempadan pilihanraya, yang satu lagi berkenaan dengan fake news.

“Kita punya pendirian ialah apabila kita tubuh kerajaan, kita akan mansuhkan ataupun batalkan undang-undang ini bersama dengan yang undang-undang yang lain yang berupa oppressive kepada rakyat,” beliau memberitahu pemberita di Pejabat Ketua Pembangkang selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di bangunan Parlimen hari ini.

Dakwanya undang-undang tersebut bersifat zalim dan menindas rakyat.

Hadir sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.