Tun M Beri Jaminan Kerajaan Akan Tadbir Negara Ikut Undang-Undang

Tun M Beri Jaminan Kerajaan Akan Tadbir Negara Ikut Undang-Undang

0
SHARE

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan mentadbir negara ini mengikut peraturan undang-undang dan bukan menurut beliau, yang berlandaskan undang-undang zalim seperti pentadbiran sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, rakyat akan berasa selamat apabila kerajaan yang memerintah negara ini mengikut peraturan undang-undang.

“Undang-undang yang zalim menjadikan rakyat berasa amat tidak selamat kerana mereka boleh ditangkap dan ditahan tanpa perlu dibawa ke mahkamah undang-undang. Walaupun mereka (pentadbiran sebelum ini) menghapuskan undang-undang berkenaan, namun mereka gantikan dengan undang-undang lapuk yang lain.

“Namun kerajaan baharu akan memansuhkan undang-undang itu dan memperkenalkan undang-undang baharu. Malaysia perlu mempunyai undang-undang yang baik dan bukan undang-undang yang zalim,” katanya semasa berucap pada pelancaran Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA, yang pertama di sini.

Yang turut hadir ialah Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Dr Mahathir berkata, terdapat prosidur yang perlu dipatuhi bagi memperkenalkan undang-undang baharu yang akan menggantikan undang-undang zalim.

Kerajaan perlu mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan undang-undang zalim itu yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini, katanya.

“Terdapat prosidur yang (kita) perlu jalani. Kita perlu mendapatkan majoriti dua pertiga untuk mengubah sebarang undang-undang yang memberi kesan kepada perlembagaan. Memandangkan tidak terdapat dua pertiga (majoriti), kita terikat dengan undang-undang lama, tiada majoriti untuk menukar undang-undang itu,” jelas beliau.

Mengutarakan satu contoh, Dr Mahathir berkata apabila kerajaan berusaha untuk memansuhkan undang-undang anti-berita palsu untuk faedah rakyat pada September tahun lepas, beberapa ahli Parlimen tidak mempunyai pandangan dan fikiran yang sama.

“Kita perlu memansuhkan undang-undang yang lama dan zalim itu. Contohnya, anti-berita palsu, tetapi (kita) hanya mendapati sesetengah ahli dalam Dewan Rakyat tidak mahu dimansuhkan undang-undang berkenaan. Kita perlu menghentikan rakyat daripada memuatkan berita palsu dalam media sosial. Ia memberi kesan kepada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA