Tun M Suarakan Tiada Keperluan Lanjutkan Usia Persaraan Kepada 65 Tahun

Tun M Suarakan Tiada Keperluan Lanjutkan Usia Persaraan Kepada 65 Tahun

0
SHARE
Tun Dr Mahathir Mohamad...

PHNOM PENH, KEMBOJA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada iaitu 60 dilanjutkan kepada 65 tahun.

Kenyataan beliau ini turut menyokong dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengekalkan had umur bersara pada 60 tahun agar ia tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

“Jangan kata Perdana Menteri berumur 94 tahun  tidak bersara pun. Saya bukan tidak bersara, tetapi dipanggil semula untuk bekerja.

“Kalau kita tetapkan pegawai bersara umur 65 tahun, ‘deadwood’ nanti pun duduk atas kerusi itu dan orang lain tidak boleh duduk (naik pangkat),” kata beliau.

Tambah Tun Dr Mahathir lagi, secara rasionalnya, sebahagian besar individu pada lingkungan usia itu tidak lagi mampu untuk bekerja secara cekap selain berdepan beberapa kekangan berkaitan, termasuk faktor kesihatan.

“Zaman saya dulu, kita pernah menaikkan had usia persaraan ini daripada 55 ke 56 tahun sebelum dilanjutkan kepada 60 tahun oleh kepemimpinan (negara) selepas saya. Bagi saya, cukuplah sampai 60 tahun itu,” katanya.

Pada masa yang sama, Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan selaku pemain industri turut menyambut baik saranan Tun Dr Mahathir dengan menyuarakan bahawa tidak praktikal untuk meningkatkan umur persaraan ketika ini.

“Sebenarnya jika kita lanjutkan usia persaraan, ia akan menimbulkan banyak isu lain antaranya sama ada mereka yang telah berumur sesuai untuk bekerja di sesetengah sektor terutama pembinaan, perladangan dan juga industri berat.

“Dan kedua, mengenai tahap kesihatan kerana sesetengah mereka memang sudah tidak larat dan selalu sakit bila mencapai usia 60 tahun. Sudah tentu akan menimbulkan banyak isu seperti kos perubatan yang perlu ditanggung majikan dan meningkatkan umur 65 itu memang tidak praktikal,” katanya lagi.