Tun M Umumkan Ada Pihak Yang Bersedia Bangunkan Projek ECRL Pada Kos...

Tun M Umumkan Ada Pihak Yang Bersedia Bangunkan Projek ECRL Pada Kos RM10 Bilion

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, terdapat pihak yang bersedia membangunkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) pada kos serendah RM10 bilion.

Memetik laporan Utusan Online, Tun Dr. Mahathir Mohamad yangtidak menamakan pihak berkenaan menjelaskan bahawa kerajaan sudah tentu akan menimbangkan pilihan yang lebih murah kerana tidak cerdik kalau menghiraukannya.

“Ada yang kata mereka boleh buat ECRL dengan RM10 bilion bukannya RM55 bilion. Sesetengahnya syarikat China, ada juga syarikat tempatan. Kita perlu berbincang dengan mereka sekiranya ada kemungkinan untuk mengurangkan kos daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion, tidak cerdik kalau kita tidak terima.

“Tetapi kita perlu kaji apakah kita sebenarnya boleh kurangnya kosnya sehingga sebanyak itu”, katanya kepada The Malaysian Insight seperti yang disiarkan dalam portal berita tersebut hari ini.

Tambah Perdana Menteri lagi, kerajaan sedia membayar lebih lagi (daripada RM10 bilion) tetapi sudah tentu bukannya RM55 bilion untuk landasan kereta api dari Kelantan ke Pelabuhan Klang itu.

“Membayar RM55 bilion untuk sesuatu yang anggaran tertingginya hanya RM30 bilion tidak baik untuk kedudukan kewangan kita,” katanya.

Dalam lawatan lima hari ke China baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan sementara atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan projek ECRL dan projek lain yang berkaitan dengan China.

Mengulas perbincangan beliau dengan kerajaan China mengenai hal itu, Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak mempunyai wang dan tidak mampu untuk meneruskan projek berkenaan.

“Sama ada kita batalkan projek (ECRL), menangguhkannya atau mengurangkan kosnya. Itu yang hendak kita lakukan…

“Butirannya akan ditentukan pada peringkat pegawai. Saya hanya menyebutnya daripada segi prinsip iaitu kita tiada wang dan kita perlu batalkan atau tangguh atau kurangkan kos,” katanya.