“Tun Mahathir Bukan Lagi Anggota PH” – Anwar

“Tun Mahathir Bukan Lagi Anggota PH” – Anwar

0
SHARE
Datuk Seri Anwar Ibrahim...

PETALING JAYA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam memaklumkan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan lagi anggota dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang sehingga hari ini, dia (Dr. Mahathir) bukan lagi anggota PH. Tapi kita buka untuk rundingan di mana dia ada menjemput untuk berjumpa dengan beberapa orang daripada kita (PH) hari ini.

“Saya tidak bersama kerana saya berada di sini (sidang media),” katanya.

Tambah Anwar, berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu yang mengatakan beliau ditolak orang Melayu kerana membawa idealogi politik liberal, Anwar menegaskan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Melayu di kawasan yang ditandinginya pada pilihanraya.

“Mahathir tolak saya tapi orang Melayu, saya belum pasti sebab saya bertanding di semua kawasan majoriti besar orang Melayu sokong saya…

“Port Dickson majoriti lebih 60 peratus sokong dan di Permatang Pauh, ia adalah sokongan Melayu. Maka saya rasa tak perlu ulas lebih daripada itu,” katanya.

Pada sidang akhbar itu juga, Anwar menjelaskan bahawa parti komponen PH tetap terikat dengan janji kepada rakyat dan mereka yang memungkiri serta mengkhianati janji itu, dianggap tidak telus dan jujur dalam perjuangan.

Menurutnya lagi, PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada di kalangan rakyat, Dewan Rakyat atau pun berdepan pilihan raya umum.

“Kita sebagai parti tetap pertahankan Islam, bangsa Melayu dan merangkul semua kaum dan suku lain di negara ini.

“Saya harap ini jelas walaupun ia bermakna mengorbankan kedudukan dan tidak menjadi Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sekian lama.

“Saya tidak gundah kerana saya rasa perjuangan politik ini, etika dan moral mengatasi bukan pengkhianatan,” katanya.