Ubat Untuk COVID-19 Ada Di Malaysia

Ubat Untuk COVID-19 Ada Di Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Peningkatan angka kes bagi penularan wabak pandemik COVID-19 yang kini melanda negara diharapkan berkurang selepas satu laporan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan status ubat bagi rawatan COVID-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan dengan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa ubat ‘Chloroquine’, ‘Hydroxychloroquine’ dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’ adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Bekalan ubat tersebut telah sedia ada di Malaysia untuk kegunaan rawatan penyakit lain dan boleh digunakan untuk rawatan COVID-19,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti ‘Favipiravir’ dan ‘Remdesivir’ akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan COVID-19.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah…

“Bagi ubat kajian ‘Remdesivir’, Malaysia telah dipilih oleh World Health Organization (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan..

“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin. Bagi ubat Favipiravir, KKM sedang mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal,” jelas Noor Hisham.

Menurutnya, dalam situasi pandemik COVID-19 sekarang, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), KKM.

Akhir sekali, Noor Hisham berkata lagi bahawa KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit.