UMNO Masih Parti Politik Terbesar Di Malaysia, Tekad Pulihkan UMNO – Mohamad...

UMNO Masih Parti Politik Terbesar Di Malaysia, Tekad Pulihkan UMNO – Mohamad Hasan

0
SHARE
Tok Mat @ Datuk Seri Mohamad Hasan...

SEREMBAN –  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa UMNO kini sudah tiada dan berfungsi hanya mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini selepas Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sudah tiada dan tidak lagi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara kecuali mempertahankan Najib.

Mohamad berkata, secara hakikatnya UMNO masih mempunyai lebih ramai ahli, lebih ramai pengundi dan lebih banyak kerusi.

“UMNO masih wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia…

“Kecuali beberapa ahli parlimen UMNO yang meninggalkan parti, dan itu pun tidak berlaku gerakan besar-besar meninggalkan UMNO.

“Sekalipun saya akui UMNO berada dalam keadaan yang lemah dan susut pengaruhnya, Perhimpunan Agung yang lepas telah mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia,” tambahnya lagi.

Beliau juga mengatakan bahawa walaupun diakui ada beberapa UMNO sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah pula jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO dihukum.

Justeru katanya, beliau dan pimpinan lain tekad untuk memulihkan parti itu dan memastikannya menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

Beliau yakin dapat memulihkan semula UMNO dan menjadikan parti itu kembali relevan di Malaysia.