UMNO Sabah Akan Dapat Autonomi Sepenuhnya Tentukan Hala Tuju Tanpa Telunjuk Semenanjung...

UMNO Sabah Akan Dapat Autonomi Sepenuhnya Tentukan Hala Tuju Tanpa Telunjuk Semenanjung Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Nama jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang terdahulu telah ditukar nama kepada Pengerusi UMNO Sabah berkuatkuasa hari ini. Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyatakan hal tersebut selepas menegaskan bahawa UMNO Sabah akan mendapat autonomi sepenuhnya di Sabah di dalam membuat keputusan mengenai dasar parti, hala tuju termasuk keputusan untuk meletakkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Bung membuat kenyataan tersebut pada sesi sidang media di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu petang tadi. Turut hadir bersama dalam sidang media tersebut adalah Datuk Yakub Khan Timbalan Ketua UMNO Sabah dan beberapa pimpinan tertinggi parti yang lain.

Datuk Bung Mokhtar berkata “Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia telah bersetuju sepenuhnya dengan keputusan autonomi tersebut dan UMNO di Sabah akan dikenali selepas ini sebagai UMNO Sabah”.

Bung juga berkata “UMNO Sabah juga telah membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan khas di beberapa bahagian UMNO di Sabah bagi tujuan memilih ketua bahagian dan ahli jawatan kuasa baharu”.

Bung menyatakan lagi bahawa UMNO Sabah akan bebas untuk mengadakan kerjasama ataupun pakatan dengan parti-parti baharu di Sabah dan jika UMNO di Semenanjung bakal mengadakan kerjasama dengan PAS ianya tidak ada kena mengena dengan UMNO di Sabah.

Bung juga dengan penuh yakin berkata bahawa UMNO di Sabah akan kembali kuat dan bangkit serta menafikan UMNO di Sabah telah lumpuh.

Ini susulan daripada hampir sebilangan besar Ketua Bahagian dan Wakil Rakyat UMNO baru-baru ini telah keluar meninggalkan UMNO untuk menyertai blok bebas dan wujud juga dakwaan kononnya bekas pimpinan UMNO Sabah ini bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

UMNO Sabah menurut Bung lagi telah banyak berjasa di dalam membangunkan negeri Sabah sebelum ini dan turut berkeyakinan UMNO Sabah akan kembali bertakhta dihati seluruh rakyat di Sabah.

Bung juga secara sinis menyatakan kesediaan UMNO Sabah untuk menerima semula Ketua Bahagian dan Wakil Rakyat UMNO yang telah keluar meninggalkan parti baru-baru ini sekiranya ada permintaan daripada mereka..