Undang-Undang Anti-Lompat Perlu Untuk Kestabilan – Pakar Perlembagaan

Undang-Undang Anti-Lompat Perlu Untuk Kestabilan – Pakar Perlembagaan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pakar Perlembagaan, S. Vanugopal, berkata sebuah Undang-Undang Anti-Lompat – sama dengan yang diperkenalkan oleh Kerajaan PBS satu ketika dahulu yang membawa kestabilan politik kepada Sabah tetapi dimansuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dan membolehkan BN berkuasa melalui tindakan melompat parti – perlu diperkenalkan.

Ini adalah bagi menghalang ketidakstabilan dalam institusi perundangan kerajaan dan pecah amanah kepada rakyat di tangan wakil-wakil yang mereka pilih…

“Undang-undang ini juga akan membawa maruah kepada penggubal undang,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu lepas.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 telah membangkitkan harapan bagi sebuah kerajaan lebih bertanggungjawab yang kuasanya akan dihadkan dan pemeriksaan dan imbangan yang perlu diperkukuh atas prinsip demokrasi berperlembagaan.

Menurutnya, adalah menjadi harapan rakyat agar negara ini tidak lagi akan tergelincir ke landasan pemerintah autokratik di mana adalah perlu bagi memastikan bahawa tiada alat kerajaan mempunyai kawalan ke atas yang lain.

Beliau berkata sementara pembaharuan ekonomi drastik akan berlaku, adalah wajar bagi kerajaan untuk memperkenalkan beberapa pindaan perlembagaan.

“Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berjanji bahawa beliau tidak akan kekal memegang jawatan itu lebih daripada apa yang diperlukan, mungkin berada pada kedudukan terbaik untuk membawa perubahan perlembagaan yang diperlukan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan lapan lagi pindaan perlembagaan segera kepada Perlembagaan Persekutuan:

1) Penggal Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal iaitu lima tahun setiap penggal. Kekangan ini akan menghalang kebangkitan seorang Perdana Menteri bersifat kuku besi dan akan menggalakkan seseorang Perdana Menteri itu meninggalkan sebuah legasi;

2) Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri dimansuhkan. Parlimen dengan sendirinya akan terbubar pada penghujung tempoh lima tahun dari tarikh pertama persidangan. Ini adalah bagi memberi kepastian kepada tarikh pilihan raya umum dan memberikan keadilan kepada semua;

3) Kuasa untuk melantik dan melucutkan Ketua institusi-institusi utama yang diberi kepada Parlimen. Institusi berkenaan termasuklah Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Ketua Peguam Cara Negara, yang mana Ketuanya hanya bertanggungjawab kepada Parlimen;

4) Mengembalikan kuasa kehakiman persekutuan di dua Mahkamah Tinggi. Kuasa kehakiman itu pada mulanya terletak di bawah dua Mahkamah Tinggi tersebut tetapi susulan pindaan pada 1988, mahkamah itu kini hanya mempunyai bidang kuasa dan kuasa sedemikian sepertimana yang diberikan undang-undang persekutuan. Kuasa kehakiman adalah senjata yang kuat di tangan badan kehakiman untuk memutuskan kontroversi antara litigan dan mengawal kuasa Pendakwa Raya (AG) untuk menentukan di Mahkamah manakah kes itu akan bermula;

5) Memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan untuk melantik ahli badan kerajaan tempatan yang digantung pada September 1964 di bawah Pengisytiharan Darurat. Wakil dipilih dalam kerajaan tempatan akan menyediakan tadbir urus baik dalam pentadbiran perihal kerajaan tempatan. Pada masa ini, wakil-wakil dilantik Kementerian Kerajaan Tempatan. Rangka kerja perlembagaan untuk pilihan raya kerajaan tempatan terletak dalam Perlembagaan. Kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan adalah dalam senarai perundangan Negeri-negeri;

6) Bagi Sabah dan Sarawak, Artikel 161(2) mengenai persetujuan Yang Dipertua Negeri untuk pindaan perlembagaan berkenaan perkara-perkara yang dinyatakan di bawahnya digantikan dengan sokongan dua pertiga majoriti Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk pindaan itu;

7) Memberikan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keahlian Dewan Rakyat terdiri daripada anggota Negeri Sabah dan Sarawak. Ini adalah untuk melindungi dengan lebih baik perlindungan perlembagaan yang dijamin kepada Negeri-negeri Malaysia Timur dan untuk kembali ke peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada 1963 di mana undi gabungan daripada ahli Sabah, Sarawak dan Singapura boleh menafikan majoriti dua pertiga dalam Parlimen untuk pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga; dan

8) Sama seperti Kerajaan Bhutan yang memperuntukkan kewajiban perlembagaan yang semua negeri harus kekalkan liputan hutan minimum pada setiap masa. Peruntukan sedemikian adalah bertepatan apabila tanah hutan berada dalam ancaman pengurangan pesat yang meningkat (jika ia tidak sudah habis di sesetengah Negeri) dan habitat hutan berada di bawah ancaman kepupusan.