Vaksin COVID-19 AstraZeneca Tidak Berkesan Untuk Individu 65 Tahun Ke Atas –...

Vaksin COVID-19 AstraZeneca Tidak Berkesan Untuk Individu 65 Tahun Ke Atas – Presiden Perancis

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PARIS, PERANCIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron semalam menyifatkan vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak berkesan untuk individu berusia lebih 65 tahun.

Bercakap kepada pemberita beberapa jam sebelum Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengesyorkan pemberian vaksin itu kepada individu dewasa di semua peringkat umur, Macron turut mempersoalkan keputusan Britain menangguhkan pemberian dos kedua bagi inokulasi lebih ramai penduduk.

Memetik laporan AFP, Macron berkata demikian kerana terdapat ‘sangat sedikit maklumat’ tersedia untuk vaksin dibangunkan oleh syarikat Britain-Sweden dan Universiti Oxford.

“Hari ini kami berpendapat bahawa ini tidak efektif untuk orang yang berusia lebih 65 tahun,” katanya kepada wartawan.

Keputusan pakar Perancis mengenai vaksin itu diharapkan pada awal minggu depan, menurut sumber yang dekat dengan pihak kesihatan.

“Saya tidak mempunyai data, dan saya tidak mempunyai pasukan saintifik saya sendiri untuk melihat angkanya,” akui Macron.

Mengulas strategi vaksinasi di United Kingdom (UK) yang melanjutkan waktu antara dos pertama dan kedua bagi memberikan perlindungan oleh dos pertama kepada jumlah maksimum orang, Macron berkata objektifnya adalah untuk tidak memiliki jumlah dos pertama sebanyak mungkin.

Dalam usaha mempercepat pemberian vaksin, ketua kesihatan UK telah menunda dos kedua hingga 12 minggu.

“Apabila semua agensi kesihatan dan pengeluar memberitahu anda untuk berjaya, anda harus melakukan dua suntikan dengan maksimum 28 hari antara keduanya, seperti Pfizer/BioNTech, dan anda mempunyai negara-negara yang mempunyai strategi vaksinasi dengan hanya memberikan satu suntikan, saya tidak pasti bahawa ia benar-benar serius,” kata Macron.

“Saintis menjelaskan kita mempercepatkan mutasi apabila hanya memberikan satu suntikan sekali gus menyebabkan virus menyesuaikan diri…

“Kita berbohong kepada rakyat apabila kita mengatakan ‘anda divaksinasi’,” katanya.