Video: Kematian Yang Dicemburui, Ustaz Sedang Baca Khutbah Meninggal Dunia

Video: Kematian Yang Dicemburui, Ustaz Sedang Baca Khutbah Meninggal Dunia

0
SHARE

ALOR SETAR, KEDAH – Kematian yang dicemburui oleh para Muslimin apabila seorang Ustaz yang juga menjalankan tanggungjawab sebagai Khatib di Masjid Al Bukhary, di sini, meninggal dunia ketika menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan, tengah hari tadi.

Memetik laporan Berita Harian, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, berangkat menunaikan solat bersama rakyat jelata ketika kejadian tersebut berlaku.

Eksekutif Kanan masjid itu, Abdul Rahman Yaacob, berkata Ku Yaacob Ku Hasim, 68, sebelum itu sempat membaca beberapa baris ayat al-Quran sebelum rebah.

“Selepas menyebut ‘Bertakwalah pada Allah’ dan menyebut beberapa baris ayat seterusnya semasa membaca khutbah, Allahyarham terus rebah.

“Arwah kemudian diangkat oleh jemaah masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital. Bagaimanapun, salah seorang jemaah iaitu seorang doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, selain ditugaskan membaca khutbah, Allahyarham sering memberi tazkirah sebelum solat Zuhur pada hari Isnin dan Sabtu serta kerap menjadi rujukan ilmu agama oleh jemaah masjid.

“Sebelum Aidilfitri, saya bersama Allahyarham berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah akan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Arwah tekun mempelajari protokol itu… semasa membuat latihan, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, arwah sentiasa nampak tenang,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Allahyarham yang pernah bertugas sebagai guru agama di sebuah sekolah dan memegang jawatan Pengerusi Surau Taman Mutiara di tempat tinggalnya, seorang yang sangat baik dan tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap.

“Saya mengenali Allahyarham empat tahun lalu sejak arwah memegang jawatan Timbalan Pengerusi masjid berkenaan… beliau seorang yang sangat komited melaksanakan tugas.

“Malah, apabila berdamping dengan arwah, hati akan tenang dengan tutur katanya yang lemah lembut dan tersusun, arwah seorang yang berbudi pekerti,” katanya yang sudah 16 tahun bertugas di masjid berkenaan.

Menurut sumber, sebelum ini Ku Yaacob pernah mengadu kepada ahli jawatankuasa masjid mengenai keadaannya yang mengalami sesak di dada dan turut mempunyai penyakit kencing manis.