Wajib Anjur Solat Berjemaah Sebelum Pelajar Balik Ke Rumah

Wajib Anjur Solat Berjemaah Sebelum Pelajar Balik Ke Rumah

0
SHARE

KUANTAN – Semua sekolah di daerah Kuantan wajib menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri mereka.

Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Razali Mustafar berkata, sembahyang antara salah satu pengisian utama pihaknya membina karektor warga sekolah, khususnya murid agar dapat mencegah perkara negatif dalam mengharungi dunia yang kian mencabar.

“Demi kecemerlangan murid-murid, kita meletakkan 5 fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu (solat) jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkan.

“Asalkan tepat kiblat, solat berkenaan boleh diadakan di dewan atau tempat bersesuaian,” katanya ketika merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh.

Razali berkata, berikutan program itu, beliau menyasarkan kira-kira 10% murid lelaki beragama Islam boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, boleh membaca al-Quran dengan baik, menjadi imam, membaca doa selamat dan tahlil.