Warga Emas Ditetak Kerana Enggan Pinjamkan Wang

Warga Emas Ditetak Kerana Enggan Pinjamkan Wang

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan..

MIRI, SARAWAK – Hanya kerana enggan meminjamkan wang kepada kenalannya, peniaga sayur berdepan detik cemas apabila diserang dan ditetak lelaki terbabit di Tudan, di sini, awal pagi kelmarin

Memetik kenyataan Harian Metro, dalam kejadian jam 1.22 pagi, mangsa berusia 72 tahun cedera di kepala dan pergelangan tangan kiri akibat ditetak suspek menggunakan parang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 30-an datang ke rumah mangsa bagi meminjam sejumlah wang.

Bagaimanapun, katanya, mangsa enggan meminjamkan wang menyebabkan suspek berang lalu menyerang warga emas berkenaan.

“Mangsa menjerit dan meraung kesakitan akibat ditetak oleh suspek sebelum melarikan diri. Jiran mangsa yang terdengar jeritan warga emas terbabit menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa berlumuran darah.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Jumlah wang yang dipinjam belum diketahui kerana mangsa masih menerima rawatan di hospital. Usaha mengesan suspek sedang dilakukan,” katanya.