Warga Indonesia Didakwa Rompak Dan Bunuh Bekas Majikan

Warga Indonesia Didakwa Rompak Dan Bunuh Bekas Majikan

0
SHARE

SHAH ALAM РSeorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Shah Alam, hari ini, atas pertuduhan merompak dan membunuh bekas majikannya di kilang papan di Selayang, 5 Ogos lalu.

Tertuduh, Satria Hidayat, 23, dari Madura mengangguk faham akan dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh dan tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen itu, Satria yang juga pendatang asing tanpa izin didakwa membunuh Kim Poh, 70, dan merompak telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,000 milik wanita itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di pejabat kilang papan Summer Media Sdn Bhd, Matang Jaya, Kuang, Selayang, antara 9 pagi hingga 10 pagi 5 Ogos lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 dan 392 Kanun Keseksaan masing-masing memperuntukkan hukuman mati mandatori, penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Haziqah Zulkifli dan Nur Aifaa Che Abdullah.

Tiada jaminan ditawarkan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 dan 26 September depan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret juga, Satria dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menetap di negara ini tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6 (c) (1) Akta Imigresen 1959/63.