WARISAN Batu Loncatan Dan Proksi Tempatan Bagi PPBM Di Sabah

WARISAN Batu Loncatan Dan Proksi Tempatan Bagi PPBM Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah kini jelas merupakan batu loncatan dan proksi tempatan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Rahim Ismail berkata parti itu hanya berminat dalam memonopoli kerusi-kerusi Negeri – dalam mengejar impian Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal untuk menjadi Ketua Menteri, mengabaikan hasrat parti-parti pembangkang lain seperti DAP dan PKR yang turut berminat ke atas kerusi-kerusi urban lain.

“Saya akan berhati-hati jika saya DAP atau PKR. Pakatan antara Warisan dan Pakatan Harapan khususnya PPBM sangat meragukan. Tiada kejujuran dalam perjuangan itu. Seorang pemimpin mahu menjatuhkan PM, seorang lagi mahu menyingkirkan KM,” katanya.

Beliau berkata, tidak lama dulu Shafie pernah berkata bahawa partinya tidak akan mengadakan sebarang pakatan dengan Pakatan Harapan.

“Shafie bertindak sama seperti mentornya, Mahathir, yang terkenal dalam melakukan pusingan-u kerana ketika AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) Warisan baru-baru ini, dia tiba-tiba mengumumkan bahawa Warisan akan bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, Shafie bukan sekadar menyingkirkan parti pembangkang tempatan itu, yang beliau dakwa sebelum ini sedang mengadakan perbincangan dengan Warisan, malah memperlekeh mereka.

Rahim, yang juga Adun Pantai Manis, berkata Shafie fikir beliau boleh memperlekeh kebijaksanaan rakyat Sabah dengan pada awalnya berkata “Warisan tidak akan menyertai Pakatan Harapan dan hanya akan bertanding di Sabah” tetapi pada masa sama memberitahu “Warisan akan menyokong manifesto Pakatan Harapan”.

“Secara realiti, kami tidak terkejut apabila Warisan mengumumkan ia akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan diterajui Mahatir, 93 tahun. Ia adalah perancangan mereka sejak dari awal,” katanya.

Menurutnya, Shafie bercakap seolah-olah semua orang tidak tahu selama ini bahawa dia merancang satu drama politik dengan Mahathir apabila dia membuat pengumuman mengenai pakatan itu.

Beliau menambah, dibayangi pelbagai dakwaan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Ops Lalang, kerugian Forex, pemerintahan diktatornya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, sistem penggiliran Ketua Menteri dan banyak lagi kesalahan terhadap rakyat, Mahathir bukan perdana menteri pilihan sebagai rakan untuk Warisan.

“Shafie akhirnya tunduk kepada modus operandi terbaharu Mahathir yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin bersungut, untuk mencapai cita-citanya menjadi Ketua Menteri – dengan apa cara sekalipun – sekalipun ia bermakna bekerjasama dengan orang yang hampir memusnahkan negeri ini suatu ketika dahulu,” katanya.

Rahim berkata dalam mengitar semula slogan Sabah untuk rakyat Sabah, Warisan cuba memancing parti politik pembangkang tempatan lain tetapi menyingkirkan semuanya apabila Pakatan Harapan memberi mereka kata dua agar membuat keputusan.

Beliau berkata Pakatan Harapan secara terbuka memberitahu Warisan agar memberi laluan bagi calon-calon daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negeri – menungut 60 peratus daripada 25 kerusi Parlimen.

“Jadi adakah laungan perjuangan Sabah untuk Rakyat Sabah untuk munasabah?” soalnya.

Beliau menambah bahawa Shafie sedia bekerjasama dengan Mahathir tetapi sumber mendakwa bekas Perdana Menteri itu tidak digalakkan datang ke Sabah kerana dia tidak popular di negeri ini.

Sumber Foto; MalayanNews.blogspot

“Bagaimana seseorang boleh bekerjasama dengan seorang pemimpin yang menuduh penduduk Malaysia Timur pemalas dan adakah ini menjadi punca ‘kurang kemajuan’ di Sabah?” soalnya.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak menderita di bawah Mahathir, dinafikan dana yang sepatutnya telah membawa kemajuan sosio ekonomi lebih lebih besar.

“Keadaan di bawah Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak jauh lebih baik daripada ketika berada di bawah Mahathir,” katanya.