WHO Jangka Jangkitan Kanser Meningkat 81% Di Negara Berpendapatan Rendah

WHO Jangka Jangkitan Kanser Meningkat 81% Di Negara Berpendapatan Rendah

0
SHARE
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)...

GENEVA, SWITZERLAND РPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, mendedahkan jangkitan kanser dijangka meningkat kepada 81 peratus (81%) di negara berpendapatan rendah dan sederhana menjelang 2040 susulan kekurangan pelaburan dalam pencegahan dan penjagaan.

WHO yang dipetik AFP memaklumkan bahawa laporan mengenai negara terbabit menumpukan sumber terhad dalam menangani penyakit berjangkit serta meningkatkan kesihatan ibu dan anak, sebaliknya bukan bagi melawan kanser. Selain itu, negara terbabit turut merekodkan bilangan kematian tertinggi ekoran kanser.

“Ini adalah peringatan untuk kita menangani ketidaksamaan yang tidak boleh diterima bagi perkhidmatan kanser diterima antara negara kaya dan berpendapatan rendah,” kata Penolong Ketua Pengarah WHO, Ren Minghui dalam laporannya.

“Jika orang ramai mempunyai akses kepada sistem rawatan asas dan sistem rujukan, justeru kanser boleh dikesan awal untuk dirawat secara berkesan dan sembuh. Kanser tidak sepatutnya menjadi hukuman mati bagi sesiapa pun,” katanya.

Laporan berkenaan menjelaskan pelaburan bernilai $25 bilion (RM103.03 bilion) dalam tempoh sedekad boleh menyelamarkan 7 juta nyawa daripada penyakit kanser.

“Mengawal penyakit kanser tidak sepatutnya mahal,” kata pegawai Jabatan Pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit WHO, Andre Ilbawi.

Laporan tahunan mendapati keseluruhan kes kanser di dunia dijangka meningkat 60 peratus menjelang 2040 dengan 25 peratus kematian adalah berpunca daripada penggunaan tembakau.

Pengarah Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa, Elisabete Weiderpass, yang bekerja dengan WHO berkata, rawatan kanser lebih baik di negara berpendapatan tinggi mengakibatkan penurunan 20 peratus kadar kematian antara tahun 2000 dan 2015.

Bagaimanapun, katanya, penurunan sebanyak lima peratus direkodkan di negara berpendapatan rendah.

Laporan berkenaan turut menjelaskan tanggapan bahawa kanser adalah penyakit bagi negara kaya sudah tidak lagi terpakai, sebaliknya satu daripada lima individu di seluruh dunia berdepan diagnosis kanser sepanjang hidup mereka.