Yamani Hafez Diingatkan Untuk Angkat Sumpah Sebagai Anggota Dewan Rakyat

Yamani Hafez Diingatkan Untuk Angkat Sumpah Sebagai Anggota Dewan Rakyat

0
SHARE
Hafiz Yamani Musa...

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa diingatkan agar tampil mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat sebelum hilang kelayakan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata isu itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan dan Yamani Hafez patut sedar akan tanggungjawabnya.

Menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen yang dipilih perlu mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.

Hari pertama persidangan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 ialah pada 16 Julai lalu yang menyaksikan 220 daripada 222 anggota Parlimen mengangkat sumpah jawatan.

Dua ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Anhli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bercuti sakit pada waktu itu  dan Yamani Hafez yang tidak mengemukakan sebarang alasan.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri mengangkat sumpah jawatan pada 14 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Yamani Hafez, 39 yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, gagal berbuat demikian sehingga kini, malah keberadaannya juga tidak diketahui.

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata Yamani Hafez akan kehilangan kerusi itu sekiranya dia melepasi tempoh enam bulan tersebut.

“Jika beliau melepasi tempoh itu (tanpa mengangkat sumpah jawatan), maka undang-undang akan berkuat kuasa. Tiada apa yang boleh saya atau anda lakukan. Itulah peraturannya,” katanya.

Berdasarkan pengiraan enam bulan dari hari pertama mesyuarat pertama Dewan Rakyat, Yamani Hafez perlu mengangkat sumpah jawatan sebelum pertengahan Januari tahun depan.

– BERNAMA